Monday, August 9, 2010
RAMADAN
Baik. Dia sudah di hadapan. Hampir. Walaupun belum lagi kita melangkah ke dalamnya, namun ia sudah semakin semakin hampir. Sangat-sangat hampir. Dekat.
Memandang. Gerbangnya besar. Gedungnya pasti luas. Ramadhan. Namanya disebut-sebut sepanjang zaman. Saban tahun pasti berjumpa. Tinggal umur sahaja tidak pasti sampai bila.
Diizinkan kah diri ini memasukinya?
Tiada siapa mengetahui. Sedang Ustaz Asri Rabbani juga meninggal tika Ramadhan sudah sangat hampir untuknya. Tiada siapa mengetahui. Tetapi Allah tahu segala-galanya.
Bagaimanakah kita tika menghadap satu perkhemahan bernama Ramadhan?
Bersedia atau tidak?
Di dalam perkhemahan Ramadhan, banyak latihan yang wujud untuk memberikan peningkatan terhadap seorang mukmin.
Cuma persoalannya, bersediakah kita?
Saban tahu kita melihat betapa Ramadhan dilalui sebagai spritual adat. Setahun sekali ada Ramadhan, tak lalu Ramadhan maka tak raya. Justeru Ramadhan perlu dilalui. Maka kita lalui dengan pengharapan cepatlah habis Ramadhan, kerana aku mahu Raya.
Bahkan, menyokong pendapat saya ini, terbaru saya berjalan di satu shopping kompleks, kelihatan banner: “Selamat Hari Raya Aidilfitri.” Sedang Ramadhan belum lagi dilalui.
Apakah persediaan kita?
Apakah azam kita?
Apa yang kita mahu daripada Ramadhan?
Pernahkah kita persoalkan?
Atau Ramadhan kali ini, sama sahaja seperti Ramadhan yang lepas-lepas. Habis bulan kembali berdosa. Tamat waktu kembali lupa. Sedangkan Ramadhan hadiahnya taqwa. Orang-orang bertaqwa sentiasa meningkat dan terhebat.
Ramadhan, dan kecintaan terhadapnya
Tiadalah kita mencintai Ramadhan kerana ganjaran di dalamnya. Bukan juga kita mencintai Ramadhan kerana kita melihat ia satu-satunya tempat untuk beribadah tenang memandangkan kejahatan disekat dengan lebih ketat ketika itu.
Tetapi kita mencintai Ramadhan kerana kita mahu menjadi hambaNya.
Kita melihat betapa Ramadhan itu adalah alat. Alat untuk kita meningkatkan diri kita menjadi hambaNya yang Dia redha. Kita bukan hamba Ramadhan. Kita hanyalah hambaNya yang melalui Ramadhan dengan terbaik, moga kita meningkat menjadi hambaNya yang terbaik.
Abu Hurairah telah berkata : “Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud : Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu.” Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai’e,Malik,Ahmad dan Baihaqi
“Sesungguhnya di syurga terdapat pintu yang dinamakan al-Rayyan. Orang-orang yang berpuasa akan masuk melalui pintu itu pada hari Kiamat. Tidak ada seseorang pun yang akan masuk melalui pintu ini kecuali mereka .Dikatakan: Mana orang-orang yang berpuasa? Lalu mereka semua berdiri. Tidak ada seorang pun yang masuk melalui pintu ini selain mereka. Apabila mereka semua telah masuk, pintu ini akan ditutup dan tidak ada seorang pun yang akan masuk melaluinya” Hadith riwayat Bukhari.
“Aku bertanya kepada Rasulullah SAW: Ya Rasulullah! Tunjukkan kepadaku satu amalan yang membolehkan aku memasuki syurga dengan cara itu. Lalu Rasulullah SAW bersabda: Kamu hendaklah berpuasa kerana sesungguhnya tidak ada satu cara pun yang mampu menandinginya” Riwayat Ibn Hibban.
“(Allah SWT berfirman) : Sesungguhnya dia (hamba) meninggalkan makan dan minum serta syahwatnya kerana-Ku. Puasa (yang dia kerjakan adalah) kerana-Ku. Puasa adalah untuk-Ku. Sedangkan, Aku memberi balasan setiap kebaikan itu dengan sepuluh kali ganda sehingga 700 kali ganda kecuali ibadah puasa. Ini kerana, ia (puasa) adalah untuk-Ku dan (sudah tentu) Aku sendiri yang akan memberi balasannya” (Diriwayatkan oleh Imam Malik dalam al-Muwaththa’, Kitab al-Shiyam – no: 603)
“Setiap amal kebaikan anak Bani Adam pahalanya (dicatat oleh malaikat) kecuali puasa. Sesungguhnya ia adalah untuk-Ku dan Akulah yang memberi pahala puasanya” Hadith Riwayat Bukhari.
Peluang-peluang inilah yang kita hendak kaut, hendak capai untuk menjadi hambaNya yang terbaik. Bukanlah kita menggapai segala ganjaran Ramadhan untuk melakukan dosa pada bulan-bulan lain. Kita hendak menggunakan ganjaran di dalam Ramadhan supaya kita kekal mampu meningkatkan diri dalam bulan lain.
Kita hendak menjadi hamba Allah SWT. Sebab itu kita bersungguh-sungguh dengan Ramadhan yang telah Allah hadiahkan kepada kita!
Penutup: Dia semakin menghampiri. Apakah kita ini diberikan jemputan?
Ramadhan sudah berada di hadapan. Sedang garis kematian diri bukan berada dalam pengetahuan. Siapakah yang meminta agar Ramadhan ini menjadi miliknya?
Siapakah yang meminta agar Allah memberikannya ruang dan peluang untuk mengucup Ramadhan buat kesekian kalinya?
Atau kita sudah nampak raya?
Ramadhan adalah madrasah.
Ramadhan adalah kem.
Ramadhan adalah lapangan tarbiyah.
Agar yang masuk ke dalamnya, keluar dengan peningkatan.
Namun siapakah yang memahaminya?
Lantas mempersiapkan diri untuk mengaut keuntungan?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
rajin update lani no..
ReplyDeleteha...mau tau r....
ReplyDelete